PORTAL RASMI BTPN PERAK

  • Increase font size
  • Default font size
  • Decrease font size
Anda di Laman Utama :: > Artikel Pendidikan > Pengenalan Kajian Tindakan
Pengenalan Kajian Tindakan PDF Cetak E-mail
Artikel - Artikel Pendidikan

Pengamalan 'research thinking and orientation’ dan ‘research-based decision-making' dalam tugas harian dalam kalangan guru merupakan satu daripada pendekatan terbaik untuk meningkatkan mutu kecemerlangan pendidikan, terutamanya dalam pengajaran dan pembelajaran. Kajian tindakan merupakan wadah yang sangat berkesan dalam membantu guru-guru memahami dan menganalisis masalah dan seterusnya menjalankan kajian bagi mendapatkan jawapan untuk mengatasi masalah tersebut. Kajian tindakan membantu guru-guru untuk bertindak secara sistematik berdasarkan tatacara yang digariskan untuk menjalankan kajian. 2

Definisi Kajian Tindakan

Kajian tindakan adalah satu kajian yang berbentuk inkuiri refleksi kendiri yang dilakukan oleh peserta iaitu pengamal pendidikan, guru atau pendidik sebagai penyelidik dalam situasi sosial itu sendiri. Sebagai penyelidik, mereka melaksanakan tindakan praktik (intervensi) bertujuan untuk membaiki atau meningkatkan kualiti amalan masing-masing, di samping meningkatkan kefahaman mereka tentang amalan itu serta situasi di mana amalan itu dilakukan. Ia melibatkan proses membuat refleksi, merancang, melaksanakan dan memerhati.

Terdapat pelbagai definisi kajian tindakan yang telah dikemukakan oleh pakar-pakar kajian tindakan. Antaranya adalah seperti berikut:

i. Kemmis & McTaggart (1988)

Kajian tindakan merupakan satu bentuk inkuiri refleksi kendiri yang dilakukan secara kolektif, dilakukan oleh peserta yang berada dalam sesuatu situasi sosial bertujuan meningkatkan kerasionalan dan keadilan amalan-amalan kemasyarakatan dan pendidikan mereka sendiri, di samping meningkatkan kefahaman mereka tentang amalan-amalan itu serta situasi di mana amalan itu dilakukan

ii. Ebbut (1985)

Kajian tindakan merupakan suatu pengkajian yang sistematik oleh sekumpulan pengamal terhadap usaha-usaha untuk mengubah dan memperbaiki amalan pendidikan melalui tindakan praktis mereka sendiri serta refleksi terhadap kesan atau akibat tindakan tersebut.

iii. McNiff (1988)

Kajian tindakan sebagai satu pendekatan untuk memperbaiki atau meningkatkan kualiti pendidikan melalui perubahan dengan menggalakkan guru-guru menjadi lebih sedar tentang amalan mereka sendiri, menjadi kritis terhadap amalan-amalan tersebut dan bersedia untuk mengubahnya. Ianya melibatkan guru dalam inkuiri yang dijalankan oleh mereka serta melibatkan guru-guru lain secara bersama.

iv. Somekh (1989)

Kajian tindakan ialah satu kajian terhadap situasi sosial yang melibatkan peserta dalam situasi sosial itu sendiri sebagai penyelidik dengan niat untuk memperbaiki kualiti amalan masing-masing.

v. Cochran-Smith dan Lytle (1990)

Kajian tindakan sebagai kajian bilik darjah yang dilakukan oleh guru-guru bagi membolehkan mereka meneroka isu-isu yang mereka sukai. Ianya juga menyediakan satu kaedah yang formal bagi menjadikan pengetahuan guru sebagai sebahagian daripada sumber maklumat dalam pengajaran serta mendekatkan guru dalam struktur kuasa dalam pendidikan.

vi. Kember dan Gow (1992),

Kajian tindakan melibatkan pengamal (guru) untuk mencuba membaiki pengajaran mereka melalui kitaran yang
melibatkan proses perancangan, pelaksanaan, pemerhatian dan refleksi.

Kesimpulannya, berdasarkan pelbagai definisi tersebut dapat dirumuskan bahawa kajian tindakan merupakan satu kaedah untuk guru mereflek masalah yang mereka hadapi, memungut dan menganalisis data dan melaksanakan perubahan terhadap amalan mereka berdasarkan dapatan-dapatan yang diperolehi. Kajian tindakan menjurus kepada matlamat menjalankan penyelidikan tindakan, iaitu atas keinginan dan kecenderungan guru untuk membaiki kualiti amalan atau pengajaran pembelajaran serta situasi kerja. Sehubungan dengan itu, guru dapat mengatasi masalah yang dihadapinya dalam konteks amalan mereka sendiri.4

Tujuan Kajian Tindakan

Kajian tindakan bertujuan untuk memperbaiki amalan pengajaran, memperbaiki atau meningkatkan kefahaman terhadap amalan pengajaran, dan memperbaiki situasi di mana pengajaran dijalankan.
Semua guru adalah penyelidik kerana sesiapa sahaja yang terlibat dalam pengajaran secara langsung sebenarnya terlibat dalam proses penyelidikan tindakan melalui semua fasa iaitu merancang, melaksana, memerhati dan mereflek.

Kepentingan guru melaksanakan penyelidikan ke atas pengajaran dan pembelajaran juga telah ditegaskan oleh Stenhouse (1984:69) iaitu:
...Guru yang baik tidak perlu disuruh membuat sesuatu. Mereka tidak bergantung kepada penyelidik-penyelidik, Jemaah Nazir, pihak yang membuat inovasi atau penyelia. Guru yang baik adalah sentiasa rela menerima nasihat, bimbingan dan bantuan. Pendidik-pendidik luar bilik darjah boleh memberi khidmat nasihat tetapi hanya guru sahaja yang akhirnya diamanahkan untuk mengajar dengan baik. Oleh yang demikian, guru sepatutnya menganggap strategi-strategi dan teknik-teknik pengajaran sebagai percubaan dan eksperimen supaya mereka dapat mengkritik kemahiran-kemahiran mereka bagi mencapai peningkatan kemahiran profesionalisme. Perbuatan sedemikian membawa maksud bahawa guru patut melibatkankan diri dengan penyelidikan bilik darjah.

Budaya penyelidikan amat perlu diterap dan diberi penekanan dalam kalangan guru di sekolah. Ia amat bertepatan dengan tugas guru sebagai pendidik yang sekali gus berperanan sebagai agen perubahaan. Sehubungan dengan itu, setiap permasalahan, kekangan atau kerumitan yang berlaku pada peringkat sekolah sewajarnya dapat diselesaikan secara bijaksana oleh warga pendidik di sekolah.

Ciri-ciri Kajian Tindakan

Ciri penting kajian tindakan ialah:

i. dilakukan oleh guru atau pendidik dalam konteks tugas seharian atau dalam konteks mata pelajaran dan kelas yang mereka ajar;

 

ii. dilakukan secara berkumpulan dan secara kolaboratif dengan membentuk kumpulan-kumpulan guru yang bersifat kritis kendiri (self-critical) dan berkomitmen untuk meningkatkan kefahaman praktis mereka; menggunakan tindakan praktis bagi menyelesaikan masalah dan mengembangkan pengetahuan secara serentak.

iii. Pengkaji terlibat secara langsung dalam usaha memperbaiki amalan pendidikan dan menambahkan kefahaman terhadap amalan tersebut;

iv. banyak menggunakan aktiviti atau kaedah refleksi kendiri;

v. dilakukan secara sistematik dan ‘rigorous’; dan

vi. dilakukan secara berterusan, berkembang mengikut kitar refleksi kendiri iaitu tinjauan, perancangan, pelaksanaan dan renungan atau refleksi.